Bekalan darah diperlukan secara berterusan

KUCHING: Rakyat diminta agar terus menderma darah kepada hospital-hospital di Sarawak bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana stok darah diperlukan secara berterusan bagi memenuhi keperluan dalam bidang kesihatan untuk menyelamatkan nyawa.

‘’Stok darah mempunyai jangka hayat tertentu dan apabila stok darah telah mencapai jangka hayat maksima, darah sudah tidak boleh diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Derma Darah di Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Sementara itu, Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung berkata, sebanyak 70 beg darah digunakan HUS setiap hari untuk kegunaan 210 pesakit yang memerlukan.

“Derma darah sangat penting kerana dalam satu beg darah mengandungi tiga komponen iaitu sel darah merah, platelet dan plasma yang mana mampu menyelamatkan tiga nyawa pada satu masa,” katanya.

Untuk rekod, program itu merupakan anjuran Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) dengan kerjasama Tabung Darah HUS; MRCS Stampin; Kumpulan Zone 2 Lions; Klub 39.