SIBU: Rancangan Kerajaan Sarawak membangunkan semula Sibu dalam masa 15 tahun bakal memberi tempias pembangunan kepada tiga kawasan.
Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan berkenaan ialah Kapit, Sarikei dan Belawai.
Untuk Kapit katanya, ia sesuai dibangunkan sebagai bandar bulan madu kerana bandar itu memiliki keistimewaan dan tarikan pengunjung.
Malah beliau memberi contoh Kapit seperti sebuah bandar di Burgen, Norway yang berbukit bukau.
“Model bandar Burgern itu amat sesuai dengan Kapit yang bergunung-ganang dan pemandangan yang cantik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Sibu sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka di Hotel Kingwood, di sini.
Konvensyen ini merupakan siri terakhir selepas Zon Kuching, Zon Betong dan Zon Utara. Lebih 2,700 perwakilan dan pemerhati dari 23 cawangan parti menghadiri konvensyen ini.
Tema konvensyen PBB Teras Kestabilan, Kemajuan dan Kemakmuran Sarawak.
Abang Johari berkata, Sarikei dan Belawai, pula dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan seperti Hawai.
“Apabila Sarawak mempunyai syarikat penerbangan sendiri dengan mengambil alih Maswing, kawasan-kawasan itu nanti akan mudah dikunjungi,” katanya.
Untuk merealisasikan ini, katanya pucuk pimpunan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerja lebih kuat berkat sokongan dan perpaduan erat ahli- ahli Parti PBB dan parti-parti komponen lain.
Tambahnya, Parti PBB sebagai parti dominan GPS akan berusaha meningkatkan pendapatan Sarawak sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Setakat ini Sarawak menduduki tempat keempat selepas Selangor, Putrajaya dan Johor sebagai penyumbang terbesar KDNK negara,” katanya.