Lapan usul, enam usul tambahan dibentang zon tengah

SIBU: Sebanyak lapan usul manakala enam usul tambahan dibentang oleh Zon Tengah pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) zon itu, hari ini.

Naib Yang di-Pertua parti merangkap Ketua Cawangan N55 Nangka dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Zon Sibu, Dr Annuar Rapaee membentangkan usul itu.

Usul-usul itu ialah:

Pertama:

Ahli-ahli PBB memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Yang diPertua PBB dan Premier, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg untuk terus menerajui PBB dan GPS bagi memastikan kestabilan politik Sarawak dan negara Malaysia.

Kedua:

Ahli-ahli PBB memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memimpin Sarawak dalam memastikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Inter-Government Committee (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan dikembalikan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan seperti yang dijanjikan.

Ketiga:

Ahli-ahli PBB menyokong langkah strategik parti PBB dan GPS sebagai rakan kongsi setara dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan menuntut agar kerjasama dan penghormatan sewajarnya diberikan oleh pemimpin-pemimpin persekutuan kepada wakil PBB dan GPS dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.

Keempat:

Ahli-ahli PBB bertekad memastikan status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak.

Kelima:

Ahli-ahli PBB mengingatkan parti-parti komponen GPS agar sebarang langkah dan keputusan yang mungkin mengganggu-gugat semangat kebersamaan, persefahaman dan kestabilan GPS dirujuk kepada saluran yang betul. Keputusan yang diambil harus dilakukan secara rundingan dan mendapat persetujuan parti PBB dan parti komponen yang lain.

Keenam:

Ahli-ahli PBB menekankan matlamat supaya Sarawak dapat mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 berpandukan dasar dan perancangan Pelan Strategi Pasca- COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Ketujuh:

Ahli-ahli PBB menyokong sepenuhnya Dasar Ekonomi Baru yang berteras kepada Ekonomi Hijau dan Ekonomi Hidrogen dan inisiatif yang diambil oleh YAB Premier untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak berlandaskan perundangan yang telah dimeterai dan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63,LAPORAN IGC dan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak selaras dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan dimeterai 16 Disember 2022.

Kelapan:

Ahli-ahli PBB bertekad memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak dapat dipelihara dan diperteguh agar masyarakat dapat hidup aman damai dan harmoni.

Manakala, enam usul tambahan:

Pertama:

Ahli-ahli PBB mengusulkan agar Belanjawan Sarawak 2024 terus memberikan keutamaan kepada pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat Sarawak dengan mengekalkan peruntukan sebanyak 70% untuk pembangunan di mana 60% daripadanya untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di luar bandar.

Kedua:

Ahli-ahli PBB kawasan Zon Tengah menyokong agar selain daripada pertambahan jumlah kawasan Parlimen di Sarawak seperti yang telah dicadangkan sebelum ini, juga mencadangkan agar kawasan Dewan Undangan Negeri turut ditambah bagi menyesuaikan pertambahan populasi dan pengundi di samping memastikan kesejahteraan dan pembangunan yang saksama.

Ketiga:

Ahli-ahli PBB menyokong hasrat YAB Premier menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak Negeri Sarawak di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak. Ini kerana pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting bagi melahirkan sumber manusia yang berkualiti untuk mencapai taraf negeri yang maju.

Keempat:

Ahli-ahli PBB mengusulkan agar kerajaan mempertingkatkan usaha dalam membangun dan memperkasakan sektor pertanian khusus di kawasan luar bandar bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan di negeri dan negara ini dapat dicapai di samping meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di luar bandar.

Kelima:

Ahli-ahli PBB amat berterima kasih dan menghargai inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier dalam menyalurkan bantuan deposit sebanyak RM 10,000 untuk deposit pembelian rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama. Di sini, kita juga mengusulkan agar kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk membantu rakyat memiliki rumah kediaman sendiri, khususnya golongan muda.

Keenam:

Ahli-ahli PBB mengusulkan agar Kerajaan Sarawak membina lebih banyak Skim Pembesaran Kampung (SPK) di kawasan zon tengah bagi membantu rakyat membina rumah kediaman yang lengkap dengan infrastruktur yang diperlukan.