TANJUNG MANIS: Kesan daripada projek pembangunan akan memberi impak kepada penduduk bukan sekadar dari segi keselesaan malah taraf peningkatan ekonomi penduduk juga turut bertambah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pembangunan Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salle berkata, projek pantai Belawai ini telah diluluskan kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM161.7 juta.
“Jadual pelaksanaan ini telah disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dan empat konsultan dilantik bagi mengendalikan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama penduduk Kampung Belawai.
Dialog ini untuk menjelaskan perancangan cadangan projek pembangunan, pembinaan pantai pelancongan di Belawai bersama-sama penduk tempatan di Dewan Masyarakat Kampung Belawai.
Projek ini dijangka siap dalam masa 30 bulan dan memberi keutamaan kepada pembinaan Tebingan Pantai Belawai bagi mengelakkan kesan hakisan dan juga beberapa kemudahan infrastruktur yang lain bagi, katanya.
Beliau berkata, perancangan yang menyeluruh ini akan memberi manfaat dalam sektor pelancongan dan ekonomi penduduk dalam jangka masa panjang.
Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, wakil Residen Mukah, Petrone Benedict Sunggoh, Penolong Pengarah Pengairan dan Saliran, Noor Salmah Reduan, Jurutera Pengairan dan Saliran Bahagian Mukah, Anisah Ahmad, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli.
Sementara itu, Yusuf berkata, projek jalan dari Kampung Paloh, Kampung Kedang, Berangan dan Kampung Stalun hingga ke Tanjung Manis, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM267 juta melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Kita mendapat maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa peruntukan untuk projek yang sama berjumlah lebih RM400 juta,” katanya.
Yusuf berkata, peruntukan itu melengkapkan lagi projek dengan jambatan dan melebarkan jalan yang sedia ada.
Manakala, bagi peruntukan Kerajaan Persekutuan, pihaknya akan berusaha berunding dengan kementerian berkaitan bagi memindahkannya ke projek lain berdekatan di kawasan Tanjung Manis.