KUALA LUMPUR: Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan agensinya menyumbangkan kutipan berjumlah RM850,566.23 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin hari ini.
Menurut kenyataan media KPK, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof menerima sumbangan yang kutipannya diselaraskan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan KPK dan sebagai tanda menyokong misi kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
“Selain wang tunai, KPK melalui Majlis Getah Malaysia turut menyumbang 100,000 sarung tangan getah yang akan disumbangkan kepada Pasukan Perubatan di Semenanjung Gaza,”menurut KPK.
Inisiatif kutipan sumbangan ini merupakan tanda sokongan KPK mendukung inisiatif Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam yang telah dilancarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dato’ Seri Tan Sri Mohd Zuki Ali, 24 Oktober lalu.
Sesi ini turut dihadiri Timbalan Menteri KPK, Datuk Siti Aminah Aching dan Ketua Setiausaha KPK, Dato’ Mad Zaidi Mohd Karli.