KUCHING: Seramai tujuh usahawan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menerima bantuan daripada Tabung Mudahcara Pertanian (AFF) Kerajaan Sarawak.
Majlis penyerahan bantuan tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki pada majlis ringkas di Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok, di sini, hari ini.
Terdahulu, semasa taklimat kepada penerima, Ibrahim menggesa usahawan menggunakan sepenuhnya bantuan dan memajukan perniagaan mereka.
“Pastikan peralatan digunakan untuk membantu proses pengeluaran produk anda. Bantuan ini untuk anda mengembangkan perniagaan anda,” katanya.
Sehubungan itu ADUN Satok berharap agar usahawan tempatan dapat mengembangkan perniagaan mereka kerana Kerajaan Sarawak terus membantu mereka.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada Jabatan Pertanian menyemak semula proses perolehan mereka untuk memberi manfaat yang lebih baik kepada usahawan sekali gus membolehkan mereka membeli peralatan perniagaan di bawah skim AFF daripada peruncit tempatan.
“Hal ini kerana usahawan mengetahui peralatan yang mereka perlukan dan boleh memperolehnya dengan harga yang lebih rendah,” tambahnya.
Dalam majlis tersebut, usahawan menerima bantuan berupa peralatan memasak.
Antara penerima termasuk Anisah Abdul Wahed, Bibi Nek Mohamad, Nur Wahidah Abdullah, Tina Bujang, Zaleha Arfan, Siti Suriani Mohamad Sharkawi dan Nazrah Razuki.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany, Ketua Pemuda Parti PBB N8 Satok Mohd Akram Mohd Karim dan Pegawai Pertanian Daerah Kuching, Rosahhajah Mohidi.