Jambatan Muara Lassa bukti kerajaan tunai janji

DARO: Jambatan Muara Lassa yang akan dibuka pada Januari tahun depan, bakal memberi impak kepada sektor ekonomi terutama di kawasan zon tengah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, dengan adanya jambatan itu akan membantu penduduk kawasan pesisir Daro meningkatkan sosio-ekonomi dan sistem perhubungan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peletakan Bongkah Terakhir Jambatan Muara Lassa, hari ini.

Majlis itu dilakukan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop bangga dan terharu kerana Pulau Bruit merupakan antara pulau di negara ini yang akan dihubungkan dengan dua jambatan selain Pulau Pinang.

Abdullah Saidol ketika mengimbau kembali detik penting mewujudkan jajaran sistem perhubungan jalan di pesisir memberitahu, ia bermula 28 April 2015 semasa Persidangan DUN Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

“Beliau telah meminta wakil rakyat dari kawasan pesisir menyuarakan permintaan mereka dan selepas itu sebuah memorandum ditandatangani oleh semua wakil rakyat kawasan pesisir untuk mewujudkan sistem perhubungan jalan tersebut.

“Penghargaan juga kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengambil alih pucuk pimpinan pada 2017 kerana mempercepatkan kelulusan dana besar untuk semua jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir untuk merelisasikan impian kami,” katanya.

Sementara itu, ADUN Daro, Safiee Ahmad memberitahu, Jambatan Muara Lassa dijangka siap sepenuhnya pada 19 Januari 2025.

Beliau juga telah bertemu dengan Premier Sarawak 25 Oktober lalu.

“Premier memaklumkan sebaik sahaja jambatan ini siap, ia akan dibuka kepada orang awam tanpa penangguhan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat satu persiapan kerana penduduk sudah tidak sabar menggunakan jambatan ini.

“Ini membuktikan kerajaan menunaikan janji pada hari ini dan menjadi sejarah buat penduduk di sini,” katanya.