KUCHING: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak terus membantu pengusaha koperasi di negeri ini dalam meningkatkan kemahiran mengurus badan koperasi masing-masing.
Modal insan dalam gerakan koperasi merupakan tunjang utama dalam gerakan koperasi yang akan memimpin koperasi untuk mencapai matlamatnya.
Sehubungan ini, IKMa Zon Sarawak akan menganjurkan program Bicara Ilmu yang bertajuk ‘Memperkasa Komuniti Melalui Berkoperasi’ di D’Sanglau Cafe & Chalet Oya Mukah pada 16 November ini.
Program ini akan dibuka kepada kira-kira 200 peserta terdiri daripada anggota Lembaga Koperasi (ALK), anggota koperasi dan kakitangan koperasi, usaha dan masyarakat umum di Bahagian Mukah terutana di kawasan Oya.
Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak yang juga Penyelaras Program, Mohamad Suandi Mortadza memberitahu program ini antara kain bertujuan menjelaskan kepada peserta bagaimana koperasi mampu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat terutamanya di luar bandar.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan memberi pendedahan hak dan tanggungjawab sebagai Anggota Lembaga Koperasi dan anggota koperasi.
Malah katanya, melalui program ini IKMa turut berpeluang memberi pendedahan kepada warga koperator khasnya di Bahagian Mukah dan kawasan sekitar berkenaan peranan IKMa Zon Sarawak di dalam pembangunan modal insan koperasi.
Menurutnya, peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus koperasi wajar dipertingkatkan.
Malah katanya, pemahaman kepada peranan dan tanggungjawab anggota dan pemimpin koperasi perlu sentiasa menjadi keutamaan agar koperasi tidak terkeluar dari landasannya.
“Tugas Institut Koperasi Malaysia (IKMa) untuk terus memainkan peranannya sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan modal insan koperasi sentiasa konsisten dan bersedia mendepani cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Mohamad Suandi memberitahu, sepanjang program ini beliau akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Hak dan Tanggungjawab Anggota Koperasi’ manakala rakan sejawatnya, Frank Meol akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Keistimewaan Berkoperasi’
Katanya, acara lain yang akan turut memeriahkan program ini ialah pameran agensi, gerai jualan dan pameran usahawan.
Program ini dijangka dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.56 Dalat. Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sebelum ini IKMa Zon Sarawak telah mengadakan Program Perkasa Ekonomi Wanita di Kawasan Batang Sadong di Dewan Masyarakat Gedong.
Program yang disertai kira-kira 150 peserta wanita itu dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang juga Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
