Nancy kekal Ketua Cawangan N13 Batu Kitang

KUCHING: Dato’ Sri Nancy Shukri terus mengekalkan kepercayaan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) apabila menang tanpa bertanding sebagai Ketua Cawangan PBB N13 Batu Kitang bagi penggal 2024-2027.

Keputusan itu diumum pada Mesyuarat Perwakilan Parti PBB N13 Batu Kitang yang sebulat suara memilih beliau untuk memegang jawatan ini buat penggal ketiga sejak 2017.

Nancy yang juga Ahli Parlimen P193 Santubong dan Naib Ketua Wanita I Parti PBB membawa pembaharuan signifikan dalam memperkukuh keutuhan parti di kawasan ini sepanjang tempoh kepimpinannya.

Selain Nancy, jawatan lain yang turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Ketua Cawangan Shamsudin Unai, Ketua Wanita Naemah Salleh, Ketua Pemuda, Saefudeen Omar Al-Fateh Mahmud dan Ketua Sayap Belia 1828, Mohd Faizun Shamsudin.

Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan sambil menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat dengan dedikasi.

“Kepercayaan ini adalah amanah besar. Kami akan memastikan usaha terbaik diberikan demi kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi Sarawak maju dan makmur selaras dengan PCDS 2030,” ujarnya.

Beliau juga memuji langkah inovatif Parti PBB dalam memperkenalkan Sayap Belia 1828 sebagai platform melahirkan pemimpin muda berkualiti.

Inisiatif ini dilihat sebagai komitmen PBB untuk terus kekal relevan dan responsif terhadap kehendak generasi muda, katanya.

Nancy turut menekankan bahawa kepimpinan Parti PBB N13 Batu Kitang akan terus menyokong misi dan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam menjadikan Sarawak sebagai negeri maju yang inovatif, hijau, dan mampan menjelang 2030.

“Kami komited untuk merealisasikan visi ini dengan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, dan pemberdayaan komuniti tempatan. Aspirasi ini bukan sahaja untuk kemajuan fizikal tetapi juga untuk memastikan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.