KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan lebih 1,000 kes gangguan seksual yang dilaporkan melibatkan lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini sejak kementerian itu terlibat dalam Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS) dan kebanyakan mangsa dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun serta melibatkan pelajar sehingga individu di alam pekerjaan.
Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya menggalakkan lelaki yang menjadi mangsa l tampil membuat laporan polis serta mendapatkan sistem sokongan.
“Antara sebab mereka enggan melaporkan kejadian tersebut adalah kerana rasa malu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog awam Program Toleransi Sifar Keganasan di Arena Gemilang, Kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.
Nancy berkata, mangsa mungkin terganggu secara mental akibat gangguan terbabit dan melalui TAGS, mereka dapat mengetahui langkah-langkah yang boleh dilakukan.
“Kementerian juga akan membantu melakukan apa yang termampu, dan tiada paksaan untuk mereka mengambil sebarang tindakan,” tambahnya.
