Yayasan Keluarga Malaysia Sarawak santuni 42 anak yatim

KUCHING: Seramai 42 anak yatim piatu jagaan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di Sarawak menerima sumbangan sempena sambutan Krismas yang bakal tiba.

Mantan Perdana Menteri merangkap Pengerusi YKM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan tersebut turut diberikan kepada 21 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, program ini diadakan bagi menyokong anak-anak yang kehilangan ibu bapa semasa pandemik bagi memberikan keceriaan kepada mereka sempena musim perayaan.

Agihan sumbangan ini katanya juga mencerminkan komitmen Yayasan Keluarga Malaysia dalam menjaga kebajikan masyarakat di seluruh negara.

“Ini adalah salah satu inisiatif tahunan Yayasan Keluarga Malaysia untuk membantu anak-anak yatim piatu.

“Untuk Krismas kali ini, Sarawak dipilih sebagai lokasi agihan, jika bagi komuniti Muslim, sumbangan diberikan semasa Aidilfitri, manakala baru-baru ini, kita juga memberi sumbangan sempena Deepavali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

“Ini adalah kunjungan pertama saya ke Sarawak selepas pilihan raya lalu dan pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu.

“Saya mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau (Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi) kerana semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau merupakan Menteri Undang-Undang,” tambahnya.