KUCHING: Majikan di Sarawak disaran memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada Orang Kelainan Upaya(OKU) supaya menjadi modal insan berdikari.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana hakikat persaingan dalam dunia pekerjaan amat tinggi pada masa ini.
“Justeru, sikap keterbukaan dalam menggajikan pekerja dengan memberi peluang kepada golongan OKU dapat membantu membina keyakinan dalam diri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Graduasi Pelatih Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) dan Majlis Perasmian Sambutan Hari OKU Sarawak 2024 di PPS di sini, hari ini.
Fatimah berkata, beliau gembira kerana ada majikan sentiasa komited menggajikan pelajar lepasan PPS untuk bekerja di syarikat masing-masing dan
menyeru graduan PPS bersikap lebih berani menjana pendapatan yang juga boleh melalui perniagaan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menyediakan Geran Pelancaran yang bernilai maksima RM5000 untuk membantu usahawan kebajikan termasuk golongan OKU, tambahnya.
Selain itu, beliau juga mendedahkan rekod pendaftaran OKU yang dicatatkan di Sarawak sehingga November 2024 iaitu seramai 53,758 OKU berdaftar dalam pelbagai kategori.
Ini terbahagi kepada kategori penglihatan (5,714 orang), pendengaran (3,100 orang), pertuturan (312 orang), fizikal (15,649 orang), pembelajaran (21,129 orang), mental (5,797 orang) dan pelbagai (2,057 orang).
