Kompleks Sukan Lingga bakal dibina, peruntukan sudah lulus

LINGGA: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi pembinaan Kompleks Sukan Lingga tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, peruntukan itu diluluskan melalui Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).

“Projek pembinaan Kompleks Sukan Lingga ini terletak bersebelahan tapak Pejabat Daerah Baharu Lingga yang berkeluasan 8.15 hektar (20.14 ekar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di tapak cadangan projek pembinaan Kompleks Sukan Lingga di sini.

Dayang Noorazah berkata, kompleks itu bakal menjadi mercu tanda daerah terbabit dan merealisasikan impian masyarakat di kawasan DUN Lingga bagi mempunyai kompleks sukan.

Turut hadir Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Abdul Rani Abdullah.