3,455 pertukaran guru pasangan berjauhan dilulus

KUALA LUMPUR: Sepanjang tahun 2024, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan seramai 3,455 atau 48 peratus daripada 7,220 permohonan pertukaran guru pasangan berjauhan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, baki permohonan yang masih belum diluluskan adalah sebanyak 3,765 (52 peratus).

“KPM menetapkan tiga prinsip asas dalam soal pertukaran itu iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen dan keperluan perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi bagi penggulungan perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini.

Bagi setiap sesi pertukaran, katanya, kategori pasangan berjauhan merupakan peratus diberi kelulusan tertinggi berbanding kategori lain.

Beliau menegaskan, sehingga 22 Oktober 2024, berdasarkan data KPM, peratus pengisian pengetua di Sarawak adalah 91.24 peratus manakala pengisian Guru Besar adalah 90.52 peratus.

Berdasarkan semakan KPM, katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro hanya mempunyai seorang calon Guru Besar yang akan tamat NPQEL pada Oktober 2024.

Seorang calon Pengetua sedang dalam proses kelulusan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan.

Beliau berkata, terdapat tiga calon Pengetua dan Guru Besar dari PPD Daro akan mengikuti program NPQEL ambilan 2025 dan langkah intervensi KPM dalam menangani kekosongan Pengetua dan Guru Besar adalah secara case by case basis.

Calon yang bersesuaian ditempatkan sebagai Guru Besar di sekolah pedalaman akan diberikan kelonggaran syarat tanpa memerlukan kelulusan NPQEL, katanya.

Guru Besar tersebut perlu mengikuti dan lulus program NPQEL dalam tempoh lima tahun selepas ditempatkan sebagai Guru Besar, katanya.