Jajaran projek Kereta Api Borneo fokus Bintulu, kajian sedang dilaksana EPU

KUCHING: Kajian bagi mengenal pasti jajaran projek kereta api Trans-Borneo sedang giat dijalankan melibatkan kerjasama Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi negara ini, kajian berkenaan tertumpu kepada kawasan Sarawak dan Sabah, yang kini dilaksanakan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

“Apabila jajaran dikenal pasti, kita akan melaksanakan projek ini secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan baharu Ibu Pejabat Pengakap Sarawak di Jalan Batu Lintang, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, buat masa ini, fokus kajian itu diberikan kepada Bintulu memandangkan kawasan tersebut sedang dibangunkan sebagai hab industri rendah karbon.

Beliau juga mendedahkan cadangan awal projek termasuk pembinaan laluan menghubungkan Bintulu dengan bandar utama lain seperti Kuching dan Miri, namun ini bergantung kepada hasil kajian serta faktor kos dan geografi.

Mengulas mengenai teknologi yang bakal digunakan sistem kereta api terbabit, beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada akan menggunakan hidrogen atau teknologi konvensional.

Namun, katanya berdasarkan perkembangan semasa, teknologi hidrogen dilihat semakin kompetitif berbanding bahan api fosil seperti diesel, terutamanya dalam konteks perubahan harga tenaga global.

“Dalam jangka panjang, Sarawak berpotensi memanfaatkan pembangunan industri hidrogen. Namun, keutamaan ketika ini adalah menentukan jajaran dan keperluan asas projek terlebih dahulu,” tambahnya.

Sementara itu, Abang Johari menjelaskan, tapak perkhemahan yang telah diserahkan kepada pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri bagi menjalankan aktiviti di Matang kini dalam fasa akhir pembangunannya.

“Kita juga sedang membangunkan sebuah bangunan yang kini telah mencapai kira-kira 70 peratus siap, dengan baki 30 peratus lagi dalam pembinaan,” katanya.

Abang Johari berkata setelah siap kelak, kemudahan tersebut dijangka menjadi pusat pertemuan dan latihan utama bagi ahli Pengakap dan Pandu Puteri dari seluruh negara.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, John Lim Boon Beng dan Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Juma’at Ibrahim.