KUCHING: Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran wanita, khususnya ibu tunggal berhubung dasar serta inisiatif pembangunan kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia membuktikan kemampuan wanita bekerjasama dengan agensi kerajaan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Seminar itu anjuran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Samariang dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia.
“Ibu memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan masa depan anak-anak, justeru mereka perlu sentiasa dilengkapi dengan ilmu serta pengetahuan semasa.
“Walaupun ramai dalam kalangan ibu-ibu mungkin tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, mereka masih boleh menimba ilmu melalui program seperti ini.
“Melalui penglibatan dalam persatuan, mereka mengetahui pelbagai program dan bantuan yang disediakan kerajaan untuk rakyat,” katanya semasa berucap dalam program berkenaan di Kampung Semariang Batu, di sini hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu lagi, rakyat perlu memahami aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, selaras dengan agenda pembangunan yang digerakkan oleh kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak.
Sehubungan itu katanya, pendidikan merupakan aspek utama yang diberikan perhatian bagi memastikan generasi muda Sarawak mampu bersaing dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
