Niti Daun acara kemuncak Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak

KUCHING: Acara Niti Daun yang dijadual berlangsung pada 20 Jun di sepanjang Tebingan Kuching antara kemuncak Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026.

Acara tersebut membabitkan penyertaan 99 kontinjen di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata acara itu akan menghimpunkan masyarakat Dayak dari pelbagai daerah bagi mempamerkan kekayaan budaya, adat resam dan identiti etnik yang menjadi kebanggaan Sarawak.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang dipengerusikannya di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada aspek logistik, keselamatan dan pengurusan acara bagi memastikan kedua-dua program utama itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Uggah berkata, kerjasama erat antara semua jawatankuasa serta agensi terlibat penting bagi menjayakan sambutan.

Katanya, ia bukan sahaja meraikan budaya dan warisan masyarakat Dayak, malah memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pelbagai program yang dianjurkan sepanjang sambutan Gawai Dayak mampu mempromosikan keunikan budaya Sarawak kepada pelawat dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Majlis Makan Malam Gawai Dayak akan diadakan pada 21 Jun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan dijangka menghimpunkan pemimpin masyarakat, tetamu kenamaan serta pelbagai lapisan masyarakat.