KUCHING : Peranan wartawan dan kewartawanan kekal relevan serta penting dalam era media sosial yang menyaksikan maklumat disebarkan dengan pantas tanpa semestinya melalui proses pengesahan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata kewartawanan berfungsi sebagai benteng penting dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab.
Menurutnya, walaupun sesiapa sahaja kini boleh berkongsi maklumat menerusi pelbagai platform digital, wartawan tetap memainkan peranan penting dalam menjalankan semakan fakta, mendapatkan pengesahan daripada sumber yang sah serta memastikan laporan disampaikan secara seimbang.
“Dalam era media sosial hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai maklumat. Berita, gambar dan video boleh disebarkan ke seluruh dunia hanya dalam beberapa saat.
“Namun, kelajuan penyebaran maklumat tidak semestinya menjamin ketepatan dan kebenarannya. Di sinilah letaknya nilai sebenar kewartawanan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Abdullah berkata, ketika media sosial dipenuhi pelbagai dakwaan, spekulasi dan maklumat yang belum tentu kesahihannya, masyarakat masih memerlukan wartawan sebagai penapis maklumat yang boleh dipercayai.
Beliau berkata, kewartawanan yang beretika juga berperanan memerangi berita palsu, fitnah dan manipulasi maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Pada masa sama, katanya, wartawan berfungsi sebagai penghubung antara rakyat dan pihak berkepentingan dengan membawa suara masyarakat kepada pembuat dasar selain membantu menjelaskan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.
“Peranan ini menjadi semakin penting dalam dunia yang semakin kompleks, terutama apabila masyarakat berdepan isu berkaitan ekonomi, teknologi, keselamatan siber, perubahan iklim dan pembangunan yang memerlukan penjelasan tepat serta berasaskan fakta,” katanya.
Beliau berkata, walaupun teknologi dan platform komunikasi terus berubah, prinsip asas kewartawanan akan kekal relevan selagi masyarakat memerlukan kebenaran, ketelusan dan akauntabiliti.
Sehubungan itu, Abdullah menyeru semua pihak agar terus mempertahankan kebebasan media yang bertanggungjawab, memperkukuh integriti kewartawanan dan memastikan profesion berkenaan terus dihormati sebagai antara tonggak penting dalam sesebuah negara demokratik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media, termasuk wartawan, jurufoto, jurukamera, editor dan petugas industri media atas dedikasi mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Terima kasih atas dedikasi, keberanian dan komitmen anda dalam menyampaikan berita demi kepentingan masyarakat dan negara,” katanya.
