Sarawak peruntuk hampir RM7 bilion laksana projek bekalan air

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan hampir RM7 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek bekalan air di seluruh negeri bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air terawat dan mencukupi menjelang 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak, Sistem Grid Air Sarawak serta Program Air Tidak Terhasil (NRW) yang melibatkan penggantian dan penaiktarafan paip sepanjang 2,740 kilometer (km).

Beliau berkata, hasil projek berkenaan hanya akan dapat dinikmati sepenuhnya apabila semua infrastruktur yang sedang dibina siap mengikut jadual.

“Ada buah, tunggu bila semuanya siap. Loji rawatan air baharu, loji yang dinaik taraf dan sistem grid air yang sedang dipasang akan membuahkan hasil apabila siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Hari Gawai di Kampung Lubok Manta Atas, semalam.

Menurutnya, kemampuan Kerajaan Sarawak menyediakan dana sendiri membolehkan pelbagai projek bekalan air dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat pada masa depan.

Julaihi turut memaklumkan projek bekalan air yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dijangka diambil alih pelaksanaannya oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Ini katanya, tertakluk kepada perincian lanjut daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Katanya, langkah itu akan membantu melengkapkan sistem bekalan air Sarawak secara menyeluruh menjelang 2030.