KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran hibrid secara berperingkat bagi program prasiswazah dan pascasiswazah yang layak, bermula semester September 2026.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, pendekatan itu menggabungkan pembelajaran dalam talian dengan penglibatan akademik di kampus, mengikut keperluan setiap program.
“Pengajaran dan pembelajaran hibrid membolehkan UNIMAS menawarkan pengalaman pendidikan yang lebih fleksibel, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kuliah dan aktiviti pembelajaran bersesuaian boleh dijalankan melalui platform dalam talian interaktif, manakala sesi makmal, kerja amali, bengkel, aktiviti lapangan dan projek kolaboratif kekal dilaksanakan di kampus.
“Setiap program mengekalkan pembelajaran di kampus yang bermakna, pengalaman amali dan sokongan akademik yang diperlukan oleh pelajar untuk berjaya,” tambahnya.
Pusat Pembelajaran Fleksibel (CFlex) menerajui persediaan ahli akademik melalui siri webinar berkaitan pendidikan digital, termasuk penggunaan sistem pengurusan pembelajaran dan pembangunan bahan kursus serta sumber pembelajaran kendiri.
Maklumat mengenai kaedah pengajaran, kehadiran, jadual waktu dan garis panduan khusus akan disampaikan oleh fakulti dan pusat kepada pelajar sebelum semester bermula melalui saluran rasmi universiti.
