SPR syor tambah 17 kerusi DUN Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi meningkat daripada 82 kepada 99.

Cadangan itu dikemukakan menerusi kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di Sarawak bagi 2026 dalam notis yang dikeluarkan, hari ini.

“Antara 17 kerusi DUN baharu yang dicadangkan ialah N.02 Jagoi, N.06 Pasir Pandak, N.09 Matang, N.10 Semarak, N.16 Tabuan Jaya, N.19 Maong, N.23 Samarindah dan N.26 Sungai Serin.

“Turut dicadangkan ialah N.53 Igan, N.61 Tanah Mas, N.64 Sungai Merah, N.66 Bukit Kemuyang, N.75 Melekun, N.84 Batu Niah, N.89 Permaisuri, N.90 Tudan dan N.93 Usun Apau,” kata notis itu.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan tidak membabitkan pertambahan kerusi Parlimen di Sarawak.

Sebaliknya, SPR mencadangkan pertukaran nama bagi bahagian Parlimen P.207 Igan kepada P.207 Batang Lassa.

Pada peringkat DUN, 10 kerusi turut dicadangkan untuk ditukar nama.

Antaranya ialah N.01 Opar kepada Serayan, N.03 Tasik Biru kepada Singai dan N.27 Tarat kepada Bung Sadung.

Cadangan itu turut membabitkan N.50 Semop kepada Muara Lassa, N.52 Jemoreng kepada Matu, N.67 Bawang Assan kepada Rassau, N.80 Jepak kepada Jepak Jaya dan N.86 Lambir kepada Pantai Beraya.

Selain itu, N.91 Senadin dicadangkan ditukar kepada Lopeng, manakala N.98 Ba’kelalan kepada Gunong Murud.

Kajian semula persempadanan itu turut melibatkan perubahan dan semakan terhadap beberapa bahagian pilihan raya Parlimen di seluruh Sarawak, termasuk kawasan di wilayah selatan, tengah dan utara.

Menurut notis SPR, bahagian pilihan raya Persekutuan yang tidak terbabit dalam kajian semula berkenaan akan dikekalkan seperti sedia ada.

Kajian itu dibuat berdasarkan daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 29 Januari 2026, dengan jumlah keseluruhan 2,037,648 pemilih.

Orang ramai boleh meneliti syor serta pelan draf bahagian pilihan raya berkenaan mulai 1 hingga 30 September 2026 pada waktu pejabat di lokasi yang ditetapkan.

Sebarang representasi berhubung syor itu boleh dikemukakan kepada SPR dalam tempoh satu bulan selepas tarikh penerbitan notis berkenaan.