Persempadanan semula kawasan pilihan raya setiap 10 tahun

KUCHING: Persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilaksanakan setiap 10 tahun bagi mengambil kira pertambahan penduduk dan perubahan kawasan.

Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Ibrahim Baki berkata, perkara itu merupakan proses biasa yang perlu dilakukan mengikut perubahan demografi.

“Setiap 10 tahun kita perlu membuat persempadanan semula kawasan kerana jumlah penduduk semakin bertambah dan terdapat perubahan lain dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media selepas Program Sesi Kemas Kini dan Jaringan SIRIM 2026.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap ADUN Satok berkata, jumlah kerusi sama ada 82 atau 99 bukan menjadi persoalan utama, sebaliknya persempadanan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Seperti yang dinyatakan Premier Sarawak, jumlah kerusi sama ada 82 atau 99 bukan menjadi persoalan utama.

“Kita perlu melihat kepada keperluan persempadanan semula setiap 10 tahun,” tambahnya.

Mengulas cadangan 17 kawasan baharu, katanya, beliau masih belum melihat sempadan yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak mahu mengulas lanjut buat masa ini.

Beliau berkata, proses berkenaan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan, terutama sekiranya terdapat bantahan terhadap cadangan sempadan baharu.