Pembenihan awan: Empangan SEB jadi keutamaan, empat loji air dikenal pasti

KUCHING: Operasi pembenihan awan yang dirancang di Sarawak akan memberi keutamaan kepada kawasan empangan hidroelektrik sebelum ditumpukan kepada kawasan takungan air yang parasnya semakin susut.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat berkaitan pembenihan awan akan diadakan esok bagi menentukan hala tuju operasi berkenaan.

Menurutnya, empangan Sarawak Energy Berhad (SEB) akan diberi keutamaan kerana menjadi sumber utama penjanaan tenaga elektrik di negeri ini.

“Keutamaan adalah empangan kita, SEB, kerana itu merupakan sumber elektrik kita. Selepas itu, kita akan pergi ke takungan air yang parasnya sudah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya JPBN Sarawak terus memantau keadaan jerebu, termasuk persediaan bekalan air dan kesihatan awam, manakala pembenihan awan turut dirancang dengan empat loji dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan.

Empat loji itu terletak di Simunjan, Lingga Spaoh dan Lichok kerana berada pada tahap kritikal.