KUCHING: Operasi sekolah di Sarawak akan terus ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal pada paras 200 dan ke atas, selaras dengan garis panduan ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekolah ketika ini dijadual kembali dibuka pada 7 September depan.
Beliau berkata, berdasarkan bacaan semasa, sebanyak sembilan daerah terjejas dengan bacaan IPU 200 dan ke atas.
“Kalau keadaan ini berterusan, kita akan menggunakan garis panduan yang sama iaitu apabila bacaan mencapai 200 dan ke atas, sekolah akan ditutup,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, operasi taska dan tabika turut tertakluk kepada keadaan IPU semasa, namun masih dibenarkan beroperasi secara kes demi kes.
Katanya, kelonggaran itu diberikan susulan permintaan ibu bapa yang kedua-duanya bekerja dan tidak mempunyai penjaga untuk menguruskan anak mereka.
“Tempat paling selamat ialah taska dan tabika kerana prosedur operasi standard (SOP) jelas dan guru-guru di situ terlatih untuk menjaga serta memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, kanak-kanak yang ditempatkan di taska dan tabika akan berada di dalam bangunan sepanjang tempoh operasi serta dipantau dan diselia oleh guru dan pengasuh.
Fatimah berkata, pendekatan sama turut terpakai bagi taska dan tabika kendalian swasta serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
“Jika ada permintaan, ini adalah berdasarkan kes demi kes. Ibu bapa boleh memohon pihak taska menjaga anak-anak mereka bagi membolehkan mereka terus bekerja.
