KUCHING: Orang ramai di Sarawak dinasihatkan menggunakan pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat.
Ini kerana Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) melaporkan terdapat sedikit peningkatan kes asma pada minggu ketiga dan keempat Ogos, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Veronica Lugah.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka.
“Sila pakai pelitup muka setiap kali anda keluar dari rumah. Ini sangat penting kerana ia akan melindungi anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat bersama JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Uggah juga menasihatkan orang ramai menggunakan pelitup muka respirator N95 kerana lebih berkesan mencegah atau menapis zarah halus berbahaya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dan memastikan pintu dan tingkap ditutup bagi mengelakkan pencemaran udara dari luar memasuki rumah.
Katanya, mereka yang berisiko berpenyakit, kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan bekerja di luar yang mengalami gejala seperti batuk, kesukaran bernafas, sakit dada dinasihat segera ke klinik atau hospital terdekat.
Selain itu, beliau juga mendedahkan operasi pembenihan awan bagi meredakan jerebu dijangka dilakukan di Sarawak pada 3 hingga 5 September depan.
