Jerebu: Pemantauan sentinel kesan peningkatan kes URTI

SIBU: Pemantauan penyakit berkaitan jerebu di Sarawak dipertingkatkan susulan peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan konjunktivitis sejak awal Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib berkata, pemantauan menerusi 15 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh Sarawak mendapati purata kes URTI meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam tempoh kebelakangan ini.

“Kes konjunktivitis turut mencatatkan trend peningkatan daripada kira-kira 17 kes seminggu kepada 21 kes seminggu dalam tempoh sama.

“Perhatian khusus diberikan kepada kes URTI yang meningkat secara mendadak pada pertengahan Ogos, dengan Zon Selatan merekodkan kira-kira 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes dan Zon Utara merekodkan angka kemuncak menghampiri 400 kes,” katanya ketika ditemui sempena lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Jalan Oya, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, dari Januari hingga akhir Ogos 2026, kira-kira 694,800 lawatan pesakit direkodkan di fasiliti sentinel berkenaan, termasuk 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma.

Menurutnya, meskipun kedatangan pesakit asma di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak (HUS) meningkat beberapa hari sepanjang Ogos lalu.

“Pemantauan keseluruhan menunjukkan aktiviti asma di peringkat negeri secara amnya kekal stabil tanpa lonjakan berterusan yang ketara,” katanya.