Sarawak terokai teknologi mobiliti mampan, tenaga bersih menerusi GATE 2026

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr Hazland Abang Hipni antara pemimpin yang turut serta dalam Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026 yang turut menghimpunkan pemimpin industri automotif dan teknologi.

Ekspo yang berakhir di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) 28 Ogos itu mengukuhkan penglibatan Sarawak dalam perkembangan teknologi mobiliti mampan, pembangunan teknologi dan peralihan ke arah industri rendah karbon.

Dalam kenyataan kementerian itu hari ini memberitahu, penyertaan Hazland membuka peluang kepada Sarawak untuk mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Selain itu, memperkukuhkan jaringan industri serta menerokai potensi teknologi mobiliti baharu dan penyelesaian tenaga bersih yang bersesuaian dengan agenda peralihan tenaga negeri.

Katanya, penglibatan Sarawak juga mencerminkan komitmen negeri ini dalam meneruskan agenda kelestarian alam sekitar dan peralihan tenaga.

Ekspo selama tiga hari itu menghimpunkan pengeluar automotif, penyedia teknologi, pelabur dan pemain industri dari Malaysia serta luar negara.

Ia diadakan bersama Sustainability Environment Asia (SEA) 2026 dan E-Mobility Asia 2026, sekali gus menghimpunkan sektor automotif, tenaga dan kelestarian dalam satu platform. – UKAS