PAKAN: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak diingatkan agar tidak leka dan sombong kerana Kerajaan Sarawak berdiri atas dokongan parti-parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan ahli parti juga harus bersatu dan jangan sesekali berpecah serta berpuak-puak.
Ini penting agar perjuangan untuk memastikan kekuatan parti kekal berpanjangan.
“Perjuangan serta kepintaran pemimpin-pemimpin terdahulu harus diambil contoh kerana berjaya menyatukan pelbagai parti untuk membentuk PBB yang kini menjadi tunggak kekuatan kaum Bumiputera di Sarawak.
“Pelbagai rintangan dilalui untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin parti terdahulu agar dapat bersatu demi membangunkan Sarawak.
“Oleh itu, semua ahli yang ada kini perlu mengekalkan kekuatan dengan bersatupadu antara ahli agar perjuangan pemimpin terdahulu tidak sia-sia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Parti PBB Cawangan Pakan di Dewan Masyarakat Pakan hari ini.
Beliau juga turut berpesan kepada semua ahli parti agar terus memberikan sokongan padu kepada Premier Sarawak yang telah banyak membawa pembangunan di seluruh pelusuk negeri.
Pada mesyuarat agung tersebut, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.47 Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom kekal Ketua Cawangan Pakan.
Selain itu, kesemua perwakilan dari lima ranting iaitu Ranting Wuak, Nyalak, Babai, Lemujan dan Nassau sebulat suara bersetuju dan menyampaikan satu resolusi menyokong pencalonan semula Tan Sri William Mawan untuk DUN N.47 Pakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Maurice Joannes Giri; Ketua Cawangan PBB N.48 Meluan merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBB, Paulus Dandee Banyang; perwakilan wanita dan pemuda.
