LUNDU: Sambutan Hari Keluarga N3 Tanjong Datu yang berlangsung di Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) Lundu menjadi wadah mengeratkan silaturahim masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri merasmikan sambutan anjuran Parlimen P.193 Santubong.
Sambutan dimeriahkan dengan acara senam sihat dan sesi cabutan tiket bertuah, pertandingan mewarna anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lundu, demonstrasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sukaneka anjuran Pergerakan Wanita Parti PBB N3 Tanjong Datu, pertandingan memanah dan pertandingan memasak.
Manakala acara Mini Forum Perdana Hal Ehwal Islam, penyampaian sumbangan RM150 kepada seramai 50 orang asnaf dan beg sekolah pula diadakan di Masjid Pehin Sri Haji Adenan di sini semalam.
Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup yang mewakili ADUN N3 Tanjong Datu, Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Lundu, Latifah Hakim, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim.