Belanjawan 2024: Kerajaan Sarawak sediakan bantuan peralatan pembelajaran

KUCHING: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) Sarawak bakal menikmati bantuan peralatan pendidikan bagi memudahkan pembelajaran mereka.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu disediakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri termasuk bantuan komputer riba, buku teks dan peralatan lain.

Perkara itu akan diumumkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-20 November ini.

“Saya menyedari bahawa terdapat banyak peralatan yang diperlukan oleh pelajar kita termasuk pembayaran yuran yang agak mahal,” katanya selepas Majlis Perasmian LATerasi Kewangan Bank Negara Malaysia di Borneo Culture’s Museum di sini.

Abang Johari berkata, beliau menganggarkan kira-kira 5,000 pelajar IPTA dan IPTS setiap tahun, khasnya pelajar dari keluarga B40 untuk bantuan ini.

Katannya, ini kerana dasar kerajaan negeri ialah memberikan pendidikan percuma dan Belanjawan Sarawak tahun hadapan juga akan mengambil kira bantuan terbabit.

“Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia dan ini merupakan peluang terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini,” tambahnya.