KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah Temasya Sukan Malaysia (PARA SUKMA XXI) 2024 bermula 21 hingga 28 September 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan di Kuching, Samarahan dan Sibu.
Katanya sukan terbabit ialah olahraga, tenpin bowling, powerlifting, ping pong, memanah, badminton, lawn bowls, renang, boccia dan catur.
“Antara sukan yang akan dipertandingkan di Kuching adalah olahraga di Stadium Sarawak, renang di Kolam Renang Datuk Pandalela Rinong,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat dari Harakah Islamiah (HIKMAH) di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini.
Katanya, selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Para Sukma, pihaknya membuat penetapan mengekalkan peraturan pemain berumur di antara 14 hingga 45 tahun pada 2022, iaitu lahir pada atau selepas 1 Januari 1977 hingga 31 Disember 2008.
Fatimah berkata, dalam mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, pihaknya juga bersetuju pertandingan akan dijalankan sekiranya ada penyertaan dua negeri dan jumlah peserta sekurangnya empat atlet.