SIBU: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihat tidak leka dengan pencapaian parti terbabit.
Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pencapaian paling utama ialah Parti PBB telah menjadi asas kukuh kepada kestabilan politik dan sosial di Sarawak.
“Namun, sebagai sebuah parti yang mendalami nilai-nilai perpaduan dan keharmonian, kita tidak boleh leka dengan pencapaian yang telah ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dapam ucapan alu-aluan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan Cawangan PBB Zon Tengah di sini, hari ini.
Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Mesyuarat Perwakilan itu.
Sehubungan itu, Alexander mahu ahli parti perlu sentiasa melihat ke depan dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks dan mencabar.
Di samping itu, beliau mahu ahli parti berganding bahu memastikan matlamat dasar pembangunan Sarawak Maju Makmur 2030 berjaya dicapai kerana PBB adalah pendorong utama bagi kejayaan segala dasar dan strategi yang digariskan kerajaan negeri.
Menurutnya, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa semangat perpaduan utuh dalam kalangan ahli dan setiap ahli tanpa mengira peringkat atau latar belakang juga harus memainkan peranan aktif dalam membantu merealisasikan aspirasi besar ini.
“Semua sumbangan, sekecil mana pun, adalah penting dalam menjayakan misi kita,” tambahnya.
