SIBU: Projek pembinaan jalan baharu dari Teku, Pasai Siong menuju ke Kemuyang bakal melakar sejarah sebagai yang pertama menggunakan kaedah jalan bertingkat di kawasan tanah paya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan itu beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan teknologi baharu itu dalam projek tersebut kerana mengambil kira keadaan tanah paya di kawasan itu.
Katanya, dengan menggunakan kaedah jalan bertingkat itu bukan sahaja menjamin keselamatan jalan yang dibina itu malah kos penyelenggaraan dapat dijimatkan.
Dengan adanya teknologi baharu, iaitu Pemodelan Industri Bangunan (BIM) maka, proses pembinaan menjadi mudah dan efisien.
“Apabila kita masukkan perisian 3D, kita dapat mengetahui kaedah untuk membina jalan seperti ini beserta dengan kos.
“Ini akan memudahkan mereka menyelenggara jalan tersebut. Jika hendak memasukkan utiliti air, elektrik akan lebih mudah kerana ia sudah mempunyai data utama” katanya semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teku Pasai Siong Ke Kemuyang, Sibu hari ini.
Projek tersebut bakal membuka kawasan pembangunan baharu dan memendekkan masa perjalanan dari bandar Sibu ke kawasan tersebut apabila siap kelak, katanya.
Jalan sepanjang kira-kira enam kilometer (km) itu membabitkan kos RM89 juta.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee, Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris serta yang lain.
