DARO: Penduduk Pulau Bruit diminta menjaga infrastruktur telekomunikasi Projek Luar Bandar Sarawak Rangkaian Jalur Lebar (MySRBN) yang dibangunkan di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, MySRBN merupakan inisiatif transformasi Digital Sarawak yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi memperluas akses perkhidmatan internet yang sebelum ini terhad di luar bandar.
Katanya, ini mengurangkan jurang digital, memberi peluang kepada masyarakat di kawasan terbabit memperoleh akses kepada pendidikan, komunikasi, dan peluang ekonomi yang lebih baik.
“Saya mengingatkan semua agar menjaga infrastruktur yang telah dibangunkan ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Liputan Baharu MySRBN Sarawak di Pulau Bruit, di sini, hari ini.
Pelancaran itu dilakukan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Abdullah Saidol berkata, penjagaan utili amat penting bagi mengelak pencuri yang merosakkan kecurian kabel atau menanggalkan peralatan komunikasi daripada menara telekomunikasi.
“Kerosakan pada infrastruktur telekomunikasi ini menyebabkan gangguan komunikasi penting, termasuk perkhidmatan kecemasan sehingga menyebabkan kerugian yang boleh mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Menurutnya, kerosakan pada satu menara telekomunikasi boleh membabitkan belanja pembaikan yang tinggi dan memerlukan masa lama untuk dibaiki serta memberi kesan negatif kepada pengguna.
“Tindakan vandalisme ini juga boleh merosakkan reputasi kawasan tersebut, kerana ia menggambarkan ketidakprihatinan terhadap kemajuan dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, Residen Mukah, Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Daro, Zul Usup.
