31 pangkalan hadapan siap siaga hulur bantuan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan memastikan mangsa banjir di seluruh negeri ini mendapat bantuan sewajarnya susulan keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

Menteri KPWKK, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, fokus utama adalah bagi memastikan bantuan bekalan makanan sampai kepada mangsa-mangsa banjir tepat pada masanya.

“Bantuan itu hendaklah sampai kepada mangsa banjir tepat pada masanya sama ada mereka ditempatkan di 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tinggal di rumah panjang yang terputus hubungan akibat banjir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fatimah berkata, sebanyak 31 pangkalan hadapan siap siaga untuk menghulur bantuan kepada mangsa banjir.

Di Bahagian Kuching, katanya, terdapat enam pangkalan hadapan, Bahagian Miri (10), Bahagian Betong dan Bintulu masing-masing (empat), Bahagian Kapit (tiga), Bahagian Sri Aman (dua), Bahagian Mukah dan Limbang masing-masing satu.

Beliau menggesa penduduk yang tinggal di kawasan terdedah banjir supaya mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi nasihat dan arahan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah.

Penduduk hendaklah sentiasa berwaspada pada musim tengkujuh sekarang dan melaporkan kepada pihak berkenaan serta-merta jika memerlukan bantuan, katanya.