KUCHING: Rakyat Malaysia sama ada bekerja atau tidak diingat mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menjamin keselamatan sosial keluarga.
Langkah itu penting sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kematian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, PERKESO bukan sahaja proaktif dalam mengesan maklumat pencarum melalui pelbagai platform, termasuk media sosial, tetapi turut bekerjasama dengan agensinya.
Ini katanya, bagi memastikan keluarga pencarum menerima manfaat yang sewajarnya.
“Apabila seseorang itu mencarum, waris mereka tidak akan dibiarkan terabai.
“Sebagai contoh, melalui sumbangan ini, keluarga arwah menerima bayaran faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000 dan faedah bulanan sebanyak RM608 untuk waris, yang akan diteruskan sehingga kedua-dua ibu bapa arwah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kediaman keluarga arwah Nurul Asikin Lan di sini untuk menyerahkan Kotak Prihatin dalam satu majlis penyerahan khas hari ini.
Katanya, caruman PERKESO bukan sahaja melindungi dari segi kematian, tetapi juga meliputi kemalangan walaupun berlaku di rumah.
“Kami sering melibatkan PERKESO dalam program-program komuniti untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, terutamanya golongan wanita, mengenai pentingnya mencarum,” tambah beliau.
Selain itu, Nancy turut menekankan bahawa program-program Jabatan Kebajikan tidak hanya menyasarkan golongan miskin, tetapi turut melihat kemampuan individu untuk meneruskan kehidupan.
Sementara itu, keluarga arwah Nurul Asikin Lan menzahirkan rasa syukur atas sumbangan tersebut yang meringankan beban mereka.
