KUCHING: Sarawak berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peningkatan dua kali ganda pendapatan Sarawak akan mencapai salah satu matlamat utama digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Sarawak berada di landasan yang betul kerana hasil negeri telah meningkat dengan ketara daripada RM5.6 bilion pada 2017 kepada RM14.2 bilion (2024) dan angka ini dijangka terus meningkat tahun ini.
“Sarawak juga telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai wilayah berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran pada 2030,” katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Amanat Perdana 2025 Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baru II itu menambah, Sarawak juga telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM21.5 bilion antara 2021 hingga 2023, yang menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekonomi dan mewujudkan 11,000 pekerjaan baharu.
Dalam sektor pelancongan pula jelasnya, Sarawak menerima sejumlah 3.9 juta pelawat yang menyumbang pendapatan sebanyak RM9.99 bilion pada tahun 2023.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan PCDS 2030 dalam mendorong pertumbuhan mampan Sarawak dan meletakkan negeri ini di landasan kejayaan masa depan yang inklusif,” jelasnya lagi.
Majlis amanat tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan diiringi isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, menteri-menteri kabinet Sarawak dan persekutuan serta kenamaan yang lain.
