KUCHING: Sarawak akan membuka kaunter khidmat pelanggan sementara dengan kerjasama Pejabat Residen dan Pejabat Daerah bagi memudahkan permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki program ini akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negeri dan akan bermula pada 18 Januari ini manakala tarikh pelaksanaan penuh akan diumumkan kelak.
Dedahnya, sebanyak 398,942 permohonan SKAS telah diterima setakat ini iaitu 45 peratus daripada jumlah sasaran.
“Setakat 12 Januari 2025, kita telah menerima sebanyak hampir 400,000 permohonan yang telah mendaftar untuk SKAS.
“Insha-Allah, kami anggota perkhidmatan awam akan terus bekerja sebagai satu pasukan dan bekerjasama dengan rakan-rakan kita khususnya di peringkat bawahan untuk memastikan inisiatif yang dijalankan Kerajaan Sarawak akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Amanat Perdana 2025 Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, menteri-menteri kabinet Sarawak dan persekutuan serta dif-dif kenamaan yang lain.
Mohamad Abu Bakar terus menggesa Perkhidmatan Awam Sarawak agar terus saling bekerjasama dalam memastikan inisiatif SKAS berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Jelasnya, cabaran-cabaran yang dihadapi ketika menyalurkan inisiatif bantuan ini melalui baucar digital menerusi SPay Global akan ditangani dengan kerjasama di peringkat ketua jabatan, pejabat residen dan pejabat daerah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan bahawa tuntutan bantuan SKAS ini dibuka sepanjang tahun dengan penerima tidak perlu bimbang mengenai kehilangan duit.
Tambahnya, pemohon yang memenuhi syarat permohonan namun tidak tersenarai, permohonan SKAS atas talian akan dibuka mulai 1 Februari hingga 31 Mac kelak.
