Pasukan SAR tentera darat bantu selamat mangsa tanah runtuh

KUCHING: Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) telah mengaturgerakkan pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) di Kampung Lereng Bukit, Miri, hari ini.

Menurut kenyataan media MK PMTTD ini bagi membantu operasi menyelamat mangsa tanah runtuh di kampung terbabit melalui Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD).

Pasukan SAR itu berkekuatan seramai 30 pegawai dan anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah 20 RAMD, Lt Kol Mohd Izwan Ramli.

Mereka telah distruktur secara sistematik kepada dua komponen utama iaitu Tim Pencarian dan Tim Pemindahan bagi memaksimumkan keberkesanan operasi.

Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Op SAR ditamatkan setelah mangsa terakhir dijumpai pada jam 6.30 petang.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menzahirkan rasa dukacita terhadap mangsa-mangsa yang gugur dan terjejas dalam kejadian ini sambil mendoakan agar diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.