Pantau kejadian tanah runtuh, banjir, turut simpati – Premier

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) diarah memantau kawasan berisiko mengalami tanah runtuh di Miri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, arahan pemantauan itu bagi membendung tragedi serupa di Kampung Lereng Bukit di Miri, awal pagi Rabu lalu.

“Ini terutamanya di kawasan berbukit dan tanah tinggi yang terdedah hujan lebat berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina 2025 di kediaman tokoh perniagaan, Dato Goh Leng Chua di Jalan Tan Sri Datuk William Tan, di sini, malam tadi.

Abang Johari menjelaskan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak sedang berada di Miri dan Bintulu bagi memantau keadaan terkini.

“Kita bersimpati dengan kes kehilangan nyawa di Miri dan
harap kawasan lain berjaga-jaga dengan keadaan ketika ini,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap kejadian tanah runtuh di Miri dan mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Abang Johari juga telah meminta Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk memantau keadaan cuaca di negeri ini bagi tempoh dua hingga tiga hari ini.

“Laporan yang dikeluarkan oleh Meteorologi ada menyatakan ramalan hujan sehingga 31 Januari ini,” tambahnya.