Perkasa bidang pertanian, DUN Demak Laut bantu golongan sasar

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut akan memanfaatkan sepenuhnya dana sejumlah RM1 juta yang diperuntukkan kepada setiap DUN bagi memperkasakan bidang pertanian di negeri ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, pihaknya memilih pertanian kerana konstituensinya terletak di pinggir bandar, justeru tidak mempunyai banyak kawasan tanah.

Ujarnya, mereka memilih pertanian moden iaitu kaedah hidroponik sebagai alternatif untuk memperkasakan bidang pertanian di kawasannya.

“Fokus saya ialah mempelawa lebih banyak golongan miskin tegar untuk mengambil bahagian dalam program ini di bawah seliaan Jabatan Pertanian Daerah Kuching yang akan memberi khidmat nasihat, bantuan peralatan dan latihan kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama ketua-ketua kaum, penghulu dan wakil pertubuhan peladang DUN Demak Laut di pejabatnya di sini hari ini.

Tambahnya, dana di bawah Dana Pembangunan Pertanian itu bertujuan membantu golongan miskin tegar keluar dari garisan kemiskinan dengan mengusahakan tanaman yang diminati bagi menjana pendapatan tetap mereka.

Di DUN Demak Laut terdapat lebih kurang 4,000 keluarga B40 dan daripada jumlah itu, dianggarkan terdapat 500 keluarga miskin tegar.

“Kita akan daftar mereka ini untuk menyertai program berkenaan bersama golongan belia yang berminat.

“Ini bermakna ia usaha sama golongan B40 di bawah dikategori miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas dan belia mengusahakan pertanian hidroponik dan kita telah bahagikan mereka kepada beberapa zon,” jelasnya.

Sebagai permulaan, pihaknya telah memulakan fasa pertama di bawah pemantauan Jabatan Pertanian Daerah Kuching di zon Tanjung Embang, Kampung Beradek, Kampung Semilang serta Kampung Tiang Api.

Manakala, bagi zon Tanjong Bako melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Tanjung Bako, Pinggan Jaya dan Kampung Muhibbah yang mana kampung-kampung ini telah menceburi bidang pertanian hidronik sejak bermula Covid-19.