Peluang penduduk Kampung Penipah pasarkan hasil laut melalui pembukaan dua jambatan

TANJONG MANIS: Penduduk Kampung Penipah disaran memanfaatkan peluang ekonomi dari pembukaan Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Rajang baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab berkata, jambatan tersebut membuka peluang kepada penduduk kampung termasuk dari kawasan Pulau Bruit memasarkan hasil laut segar seperti sesar unjur dan ikan lumek salai.

“Malah, kehadiran pengunjung dari luar juga berpotensi meningkatkan pendapatan penduduk melalui pembelian produk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Padang SK Kampung Penipah di sini, baru-baru ini.

Yusuf turut memaklumkan bahawa projek pembinaan Jambatan Batang Paloh sedang giat dijalan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal 2026.

Menurutnya, ini sekali gus melengkapkan rangkaian infrastruktur yang bakal memberi manfaat kepada penduduk kawasan tersebut.