Muzium Limbungan Brooke siap penghujung tahun

KUCHING: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM47 juta bagi mengubah suai dan menaik taraf bekas Limbungan Brooke di sini menjadi muzium maritim di Sarawak sekali gus sebagai pusat rekreasi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan mengubah suai dan menaik taraf bekas Limbungan Brooke itu diilhamkan sejak beliau menjadi Menteri Pelancongan.

“Kerja-kerja mengubah suai dan menaik taraf limbungan Brooke itu kini 86 peratus siap dan dijadual siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.

“Bekas gudang PWD (fasa kedua) itu nanti dijadikan stesen Transit Aliran Automasi (ART),” katanya kepada media semasa meninjau kerja-kerja menaik taraf Limbungan Brooke itu di sini hari ini.

Pada mulanya, kerajaan memperuntukkan RM42 juta untuk kerja-kerja menaik taraf, namum selepas mengambil kira kos menaik taraf bekas gudang PWD menjadi stesen ART, RM5 juta lagi ditambah,” katanya.

Sarawak mempunyai sejarah panjang dalam industri perkapalan dan maritim sejak ketibaan Rajah Putih, Sir James Brooke ke negeri ini, katanya.

Antara bahan bersejarah dipamerkan di muzium itu nanti ialah kren, jentera lama, propeller kapal dan Kapal Zahora yang menjadi kapal rasmi Rajah Brooke dan Koloni untuk berhubung dengan rakyat di seluruh pelusok negeri ini pada zaman dahulu, katanya.

Sebaik sahaja siap nanti, limbungan itu dilengkapi restoran, kawasan riadah dan kemudahan lain.

Untuk info, Limbungan Brooke ditubuh 1912 merupakan limbungan tertua di negara ini.