Standard atlet SUKSAR meningkat

SIBU: Sarawak mampu membuat kejutan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menerusi pendedahan atlet-atlet yang dilakukan di dalam dan luar Sarawak.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi berkata, ada dalam kalangan atlet yang menjalani latihan empat hingga lima bulan untuk Sukan Sarawak (SUKSAR) dan standardnya meningkat.

“Saya percaya SUKMA yang diadakan Ogos tahun ini, ada jurulatih bertauliah bagi membuat perancangan untuk sukan-sukan permainan di luar Sarawak,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Sukan Sepak Takraw SUKSAR III di Dewan Sepak Takraw, Kampung Bandung, petang tadi.

Mengulas SUKSAR III, Ismail memberitahu, termasya ini (SUKSAR) dilihat seperti pra SUKMA.

“SUKMA ada had umur, bila ada had umur atlet sudah meningkat, jadi kita terpaksa mencari bakat baharu.

“Jadi kita telah mendapat khidmat jurulatih berpengalaman, masing-masing seorang dari Kuala Lumpur dan Thailand.

Dalam pada itu, Kontinjen Zon Barat berjaya memperoleh emas bagi kategori wanita kuadiran Sukan Sepak Takraw SUKSAR III di Dewan Sepak Takraw, Kampung Bandung.

Zon Barat mendominasi perlawanan pingat emas dengan memenangi dua set berturut-turut dengan mata 21-9 dan 21-11.