KUCHING: Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Serembang mengadakan lawatan ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semasa Persidangan DUN Ke-19 di sini, semalam.
Seramai 20 jawatankuasa ranting dan wanita kemudian berpeluang menyaksikan ucapan penggulungan daripada beberapa menteri yang mengambil bahagian pada sidang DUN Sarawak.
Selain itu, mereka turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Sarawak sambil mempelajari protokol sesebuah sidang dijalankan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program lawatan seperti ini akan memberikan pendedahan mengenai persidangan DUN Sarawak.
“Selain mendengar perbahasan, mereka juga dapat melihat bagaimana polisi digubal, isu rakyat dibangkitkan serta jawapan yang diberikan oleh menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab,” tambahnya.
Pengerusi Ranting Parti PBB Kampung Serembang, Jailani Miee menyifatkan peluang menyaksikan secara langsung persidangan DUN Sarawak sebagai pengalaman berharga terhadap proses demokrasi dan tadbir urus negeri.
“Terima kasih kepada YB Datuk Mohammad Razi Sitam atas peluang yang diberikan untuk melihat sendiri bagaimana DUN bersidang. Kami akan manfaatkan peluang ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu,” katanya.
