Tiga IPT milik Sarawak bakal tawar kursus percuma mulai 2026

KUCHING: Mulai tahun 2026, kira-kira 82 peratus program pengajian di tiga institusi pengajian tinggi (IPT) milik penuh Kerajaan Sarawak bakal ditawar secara percuma menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan pelajar menyertai bidang pengajian yang berdaya saing dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Kita tidak memberikan percuma kepada semua kursus, sebaliknya memilih bidang yang benar-benar diperlukan untuk masa depan negeri dan rakyat.

“Matlamat kita bukan sekadar memberi pendidikan, tetapi menjamin peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Tiga institusi pengajian tinggi yang telah menyenaraikan kursus di bawah FTES ialah Universiti Teknologi Swinburne Sarawak yang menawarkan 22 daripada 25 kursus (88 peratus), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sebanyak 15 daripada 18 kursus (83.3 peratus), dan Universiti Curtin Malaysia dengan 21 daripada 28 kursus (75 peratus).

Manakala, data bagi Kolej Universiti i-CATS masih dalam peringkat penyediaan.