TEGAS lancar jerayawara Ke-10 Pro-DR

LAWAS: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) melancarkan siri Jerayawara Ke-10 Project of Dreams Realized (Pro-DR), di sini, hari ini.

Jerayawara ini sebuah program pendidikan dan kerjaya bertujuan memperkasakan pelajar dan belia di seluruh Sarawak dengan majlis perasmiannya disempurnakan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang diwakili Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas Linda Yabi.

Majlis ini menandakan bermulanya jelajah selama 31 hari ke 14 destinasi di seluruh Sarawak dengan Lawas sebagai perhentian pertama.

Program tahunan TEGAS ini, yang diperkenal sejak 2014 juga menandakan satu dekad komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan modal insan.

Jerayawara ini berfungsi sebagai platform sehenti yang menghimpunkan lebih 40 institusi pendidikan tinggi, agensi pembiayaan, dan agensi kerajaan.

Tujuannya berkongsi maklumat penting mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran, dan bantuan kewangan khususnya kepada komuniti di luar bandar.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato Henry Sum Agong menekankan kepentingan program ini dalam menyokong agenda ekonomi negeri.

“Sarawak telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi, dan untuk mengekalkan momentum ini, kita perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Menurutnya, peluang pekerjaan sudah tersedia, terutama dalam bidang TVET dan digital, namun Sarawak masih berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja mahir.

“Justeru, program seperti Pro-DR ini amat penting untuk menyediakan laluan kepada anak-anak kita,” tambahnya.

Satu lagi kemuncak majlis ialah perasmian serentak Bengkel Think & Tinker (T&T) Mini Lab di SMK Lawas.