Persefahaman, saling menghormati kunci perpaduan masyarakat Sarawak

KUCHING: Integrasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak adalah kunci perpaduan yang membolehkan sebarang konflik dapat diuruskan secara baik.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini kerana setiap individu mempunyai latar belakang, didikan dan perbezaan pendapat antara satu sama lain.

“Disebabkan itu, apabila berlaku konflik, kita perlu menguruskannya dengan baik dan ini bermula dengan persefahaman bersama,” katanya ketika berucap merasmikan program Malam Mesra Deepavali di dewan serbaguna Kampung Pinang Jawa di sini, malam tadi.

Berhubung program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, dengan pendedahan tentang perayaan yang disambut oleh kaum lain, ia membolehkan masyarakat belajar antara satu sama lain dan memupuk sikap saling menghormati.

Ia adalah titik permulaan untuk mengekalkan perpaduan yang dikecapi selama ini susulan objektif program ini membawa maksud yang lebih mendalam, katanya.

Hadir sama, Datuk Bandaraya Kuching Utara Hilmy Othman; Pengarah DBKU Mohammed Khairir Abang serta Timbalan Presiden Persatuan Kuil Hindu Kuching P Vaithilingam.