KUCHING: Makmal Subfertiliti di Sarawak bakal diwujudkan bagi membantu memberi sinar kepada pasangan yang sukar mendapat zuriat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, makmal itu nanti akan diwujudkan dalam bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) Kuching yang kini sedang dalam pengubahsuaian.
“Bagaimanapun, kementerian akan berbincang terlebih dahulu bersama Kerajaan Sarawak berhubung perkara tersebut mungkin kalau kerajaan negeri hendak menyumbang sedikit (kos ke arah pembinaan makmal). Bagi kos lain, kementerian akan tanggung.
“Ia berikutan makmal sedia ada di Hospital Umum Sarawak (HUS) tidak mencukupi untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sambutan bulan keluarga kebangsaan peringkat Sarawak di Masjid Darul Hana, Petra Jaya, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Santubong itu menambah, penubuhan pusat ini berkaitan dengan pengembangan keluarga Malaysia, iaitu membantu memberi sinar kepada pasangan yang sukar mendapat zuriat.
“Sekali lagi LPPKN diberi peranan dan tanggungjawab untuk menguruskan pusat ini yang turut menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini dan latihan kepakaran di Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, Pusat Subfertiliti Negara yang pertama akan dibina di Shah Alam, Selangor tahun hadapan melibatkan peruntukan RM171 juta yang dijangka beroperasi pada 2029.