KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serius dalam usaha memantapkan sektor pendidikan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, penyaluran peruntukan sebanyak RM343 juta untuk MEITD dalam Belanjawan Sarawak 2024.
Ia akan digunakan dengan berkesan melaksanakan inisiatif dan projek strategik meningkatkan kualiti pendidikan, pembangunan modal insan, serta mewujudkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi yang lebih mantap di Sarawak.
Ini katanya, selaras dengan peranan MEITD sebagai pemboleh modal insan, pendidikan, dan inovasi di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Dalam usaha memperkasa dan mempromosi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik kepada pelajar di seluruh negeri ini, kata MEITD telah memperkenalkan STEM Trailblazers Sarawak.
Dianjurkan serentak di Kuching dan Miri, program ini katanya berupaya menarik seramai 6,000 peserta terdiri daripada sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi, ibu bapa, pendidik dan pemimpin masyarakat.
Roland berkata, seramai 606 guru telah dilatih di bawah program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai DLP Sarawak pada 2023 selain 5,200 yang dilatih sebelum ini.
Manakala 1,700 guru bukan pilihan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris juga dilatih di bawah Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).
“Ia merupakan kerjasama empat tahun yang melibatkan 50 sekolah rendah sekolah yang mempunyai 100 guru. Mereka akan bergilir-gilir memanfaatkan kira-kira 13,000 pelajar,” katanya.